Jan 11, 2013

Kembali kepada Sunnah...anda selamat...


Pantai mana yang tak pernah dilanda badai..itulah ibarat hati atau jiwa kita bila diuji dengan resah dan kecamukan..setiap insan dilahirkan dengan naluri fitrah iaitu suatu perasaan yang diciptakan Allah untuk kembali kepadanya di atas kebenaran...sang insan yang hatinya hidup akan terus mencari cari kebenaran tersebut..berbahagialah mereka yang disirami hidayah kebenaran di dalam hatinya untuk meniti di atas kebenaran dan istiqamah sehingga datang suatu saat yang telah tertulis baginya untuk dipanggil pulang bertemu Penciptanya dengan membawa amalan soleh dan keyakinan yang benar terhadap Yang Maha Mencipta..
"(Iaitu) di hari harta dan anak-anak laki-laki tiada lagi berguna, kecuali orang-orang yang menghadap Allah dengan hati yang bersih." (Asy-Syu'ara': 88-89).
Beruntung dan berbahagialah mereka yang hidupnya beragama dengan Sunnah Rasulullah S.A.W dalam akidah, ibadat, akhlak dan seluruh kehidupan. Mereka mendahulukan dan menetapkan diri mereka dengan ‘qalallah’  dan ‘qalarasulullah’ biarpun didatangkan berbondong bondong manusia hebat cuba meggelincirkan hati mereka.
Sunnah yang ‘disongsangkan’
Mungkin kita terlupa atau memang tiada dalam memori sesetengah Muslim dengan istilah ‘Sunnah’. Akibat kejahilan dan kegelinciran akal memahami istilah yang cukup besar dalam Islam ini menyebabkan ramai yang terus jauh dari agama walaupun mereka merasakan dekat dengan agama. Agak malang apabila golongan agama yang diharapkan membawa obor Islam sendiri gagal memahaminya dan berlakulah tragedi ‘guru kencing berdiri, anak murid kencing berlari’. ‘Sunnah’ disempitkan dengan tafsiran songsang seperti ‘amalan sunat..benda remeh temeh..tak buat takpe sah jugak...’ dan ‘sunnah tu berlegar dengan pakai jubah, serban, celak, makan dalam talam beramai ramai, berpoligami’. Itulah realitinya ‘sunnah’ hanya berkisar dan berputar dengan tafsiran tersebut sahaja. Mari kita kembali kepada tafsiran ulama salaf (dalam lingkungan 300 Hijrah) dahulu apa itu Sunnah..
Al Imam Al-Barbahahari (wafat 329 H)
‘Ketahuilah sesungguhnya Islam adalah Sunnah dan Sunnah adalah Islam, tidak akan berdiri salah satunya kecuali dengan saudaranya dan dari sunnah berpegang teguh dengan jamaah (iaitu para sahabat). Barangsiapa yang benci jamaah dan meninggalkannya bererti ia telah menanggalkan Islam dari pundaknya dan bererti ia telah sesat dan menyesatkan’
(Syahus Sunnah hal. 21)
Betapa besarnya nilai Sunnah, Sunnah itu adalah metodologi dalam beragama. Sunnah itu peraturan dan perintah. Sunnah itu pegangan dan cara hidup.
Sunnah Nabi bukan bermaksud hukum sunat yang menjadi lawan kepada hukum wajib tetapi ia bermaksud jalan pemikiran, pendekatan, perbuatan, perkataan, pembawaan pegangan Nabi dalam beribadat dan beragama.
Secara umumnya sunnah terbahagi kepada dua, pertama Sunnah Amaliyyah, kedua Sunnah Tarkiyyah.
Sunnah Amaliyyah bermaksud apa sahaja yang disuruh atau digalakkan oleh Nabi ke atas umatnya seperti qiyamullail, berpuasa dan berkahwin.
Sunnah Tarkiyyah pula bermaksud apa sahaja yang ditinggalkan (tidak dilakukan) oleh Nabi dan Baginda tidak pernah menyuruh atau menggalakkannya.
Dengan perkataan lain, jika melakukan amalan (keagamaan) yang dilakukan Nabi itu dilihat mengikut sunnah, maka tidak melakukan perkara yang tidak dilakukan oleh Nabi itu juga dilihat sebagai mengikut sunnah.
Cukuplah khazanah Sunnah yang ditinggalkan oleh Nabi itu untuk diamalkan. Layakkah kita untuk amalkan bukan dari Sunnah walaupun ia dari Ustaz, Ustazah terkenal?? Nabi adalah sebaik baik manusia, manusia paling tahu berkaitan agama, wahyu diturunkan padanya, Jibrail kawannya, paling bersih hatinya, pernah bertemu Allah..siapa para Kadi, Imam, Ustaz, Ustazah itu dan kita untuk menambah walaupun satu zarah dari agama??
Imam Al Auza’i berkata:
‘Teguhlah di atas sunnah! Berhentilah di tempat mereka berhenti! Ucapkanlah seperti yang mereka ucapkan! Tinggalkanlah apa yang mereka tinggalkan dan tempuhlah jalan salafussolehmu! Sesungguhnya sudah cukup untukmu apa yang telah cukup untuk mereka’
(Dikeluarkan oleh Al-Ajuri dalam Syariah hal.58)
Bermuhasabah dan kembali kepada kebenaran...
Detik waktu terus berjalan dan saat penamat semakin hampir...muhasabahlah..kembalilah kepada Sunnah..carilah, bongkarlah, amalkan, dan istiqamahlah dengan Sunnah sebelum mata tertutup buat selama lamanya..pada saat roh dibawa pergi itulah pasti hadir kekesalan yang teramat bagi mereka yang mengingkari petunjuk Sunnah dalam hidupnya..berbahagialah mereka yang tetap dan sabar di atas ujian selama berpegang dengan Sunnah pada hari tersebut melihat janji Allah Yang Maha Agung..janjinya pasti benar..bergembiralah..
Perbetulkan akidah kita sesuai dengan pemahaman salafussoleh..mantapkah pengetahuan kita tentang tauhid Rububiyah, Uluhiyah dan Asma’ wa Sifat? Sudahkah kita kenal siapakah golongan Jabariah, Qadariah, Wa’idiyah, Murjiah, Jahmiah, Khawarij, Muktazilah, Syiah, Nawasib supaya tidak terjebak kedalam pemikiran kita?..sudah betulkah wuduk kita sesuai Sunnah? sudah betulkah solat kita sesuai sifat solat Nabi?..bagaimana dengan doa Iftitah, bacaan rukuk, sujud, yang pelbagai jenis dan lebih dari satu? Sudah diperbetulkan wirid selepas solat mengikut hadis sahih? ataupun masih lagi mengulang bacaan sama yang dihafal ketika usia hingusan ketika di bangku sekolah rendah sewaktu kelas KAFA?
Kembalilah kepada jalan salafussoleh dalam memahami agama..itulah jalan kebenaran yang hakiki..buangkan ego dan kesombongan..
Rasulullah s.a.w bersabda
‘Tidak masuk syurga orang yang di dalam hatinya terdapat seberat zarah dari kesombongan’
Kemudian beliau bersabda:
‘Sombong itu menolak kebenaran dan meremehkan manusia’
(Hadis Riwayat Muslim)
Tunduklah pada kebenaran..tunduk kepada kebenaran nescaya kita selamat di negeri yang kekal abadi..tidak pernah sang insan yang tunduk pada kebenaran sejarah menulisnya dengan kehinaan..
Ya Allah! Istiqamahkan diri kami dalam Sunnah NabiMu dan matikan kami dalam Islam dan Iman. Amin.

- "Artikel kiriman daripada rakan..,"

1 comment:

datin said...

“Sesungguhnya golongan Bani Israel berpecah kepada 72 golongan dan umatku akan berpecah kepada 73 golongan, kesemua mereka di dalam neraka kecuali satu. (Sahabat-sahabat) bertanya: ‘Siapakah yang satu itu wahai Rasulullah?’ Nabi menjawab: Mereka yang mengikut landasan yang aku dan sahabatku bawa”.

Blog yang berentak pelbagai, mengkritik dengan pelbagai sudut. kau tak suka, maka berlapang dada, hanya perlu meninggalkan pesanan saja..sekian