Apr 8, 2012

tenang itu harus bagaimana?


Telah banyak definasi telah diberikan tentang ketenangan. Namun ianya kelihatan masih tidak cukup dan tidak mampu untuk diikuti. Setiap manusia tercari-cari dengan ketenangan. Ada yang berbelanja banyak untuk mencarinya melalui pembacaa, hasil fikiran sang penulis yang bercerita soal ketenangan. Tidak kurang juga yang mengembara ke sana ke mari semata-mata untuk mencari sumber ketenangan melalui pengalaman perjalanannya itu. Namun, ketenangan sukar untuk diperolehi, apatah lagi untuk dirasai.

Sebagai Hamba Allah, kita seharusnya melihat apakah yang menghubungkan ketenangan itu ke dalam jiwa manusia. Ketenangan bukan bersifat kebendaan yang membolehkan kita melihatnya, akan tetapi ketenangan itu adalah satu perasaan tenang yang kita rasai. Jika kita mencari ketenangan itu tanpa kita tahu apa itu ‘tenang’ terlebih dahulu, samalah juga kita diibaratkan sebagai seorang pelayar yang belayar tanpa tujuan dilautan luas. Berlayar hanya mengikut arah tiupan angin. Adakah kita akan sampai ke pelabuhan yang seterusnya? Tidakkah itu perbuatan yang sia-sia?.

Begitu juga soal mencari ketenangan. Kita seharusnya faham dan tahu apa yang kita cari. Jangan berusaha tanpa sebarang matlamat kerana itu adalah perbuatan yang sia-sia. Sama seperti menembak tanpa arah. Ketenangan itu sebenarnya berkait rapat dengan hati manusia. Kerana hati merupakan tempat seseorang manusia itu tercorak. Jika hati telah rosak maka diri juga akan turut rosak begitu juga sebaliknya berlaku. Nabi juga pernah menyebut dalam hadisnya mafhumnya;

‘ didalam diri seorang manusia itu ada seketul daging yang sangat bernilai. Jika rosak daging itu, maka rosaklah sekalianya’

Jelas disini bagaimana tingginya implikasi hati itu kepada manusia. Bagaimana mungkin seseorang itu boleh menjadi tenang jika hati mereka telah kotor dengan segala macam daki dunia? Sebelum kita berfikir untuk mendapatkan ketenangan itu, sebaiknya kita memperbaiki dahulu hati. Hati merupakan raja kepada diri manusia. Seperti seorang pemimpin Negara, jika pemimpin itu rosak, maka akan rosaklah juga rakyat jelatanya, akan tetapi jika pemimpin itu baik, maka baiklah juga rakyatnya.

Persoalan disini bagaimana untuk mengubati hati yang sakit, hati yang dipenuhi dengan daki-daki dunia? Hati boleh dirawat dengan proses spiritual. Ianya dapat dibahagi kepada dua iaitu memperbaiki hubungan kepada Allah dan juga hubungan sesama manusia.

Seperti firman Allah yang berbunyi ‘hablum minallah, hablum minannas’.

Islam mengajar umatnya untuk membersihkan hati dengan cara memperbanyakkan zikir kepada Allah, memuji dan mengagungkan kebesaran Allah. Memperbaiki hubungan kepada yang berkuasa. Selain daripada itu, kita juga harus memperbaiki hubungan sesama manusia dengan cara, berbaik-baik dengan mereka, tolong menolong, tidak berburuk sangka dan sebagainya. Ianya akan memperbaiki hati seterusnya akan dapat memperbaiki diri untuk memperolehi ketenangan.

Ketenangan itu tidak sukar untuk dicari akan tetapi amat sukar untuk diperolehi dan dirasai. Ada pendapat mengatakan, jika kita kaya kita akan perolehi ketenangan jiwa. Kita akan menjadi patuh kepada Allah, (meninggalkan laranganNya dan mengikuti suruhanNya) kerana bahagian dunia yang kita kejar itu telah kita perolehi dan tinggal bahagian di akhirat lagi yang perlu kita cari. Namun realitinya, berapa banyak orang yang bergelar jutawan mati kerana membunuh diri? Berapa banyak jutawan yang hidupnya penuh dengan liku-liku yang sangat nista? Bergelumang dengan maksiat dan sebagainya. Berapa banyak jutawan yang mengabdikan dirinya kepada Allah? Dan berapa banyak orang kaya, yang diberikan Allah nikmat kesenangan, menjadi leka kepada permainan dunia?

Punca berlakunya keadaan itu tidak lain kerana jiwa mereka tidak tenang. Hati mereka penuh dengan soal keduniaan yang melebihi akhirat. Adakah itu ketenangan yang kita cari-cari selama ini?Adakah itu ketenangan yang kita dambakan?Tidak, kerana ketenangan yang kita cari ialah ketenangan yang bermula dari dalam hati dan meluahkannya melalui perbuatan kita. 

Ketenangan bukan bermaksud kita mementingkan keseronokkan dunia dengan merosakkan diri sendiri, melupakan hubungan kita kepada Allah dengan meninggalkan segala suruhanNya.
Ketenangan ialah bila mana kita ditimpa sesuatu musibah kita redha dengannya. Kita tidak terlalu terkesan dengan apa yang berlaku kepada diri malahan menganggapnya sebagai satu cabaran untuk memperbaikinya. Tidakkah tindakan seumpama ini sangat cantik bila diamalkan? Bila orang lain memusuhi, kita memaafkannya dan tidak pula memusuhinya. Kita tetap tidak terkesan kerana hati kita berada dalam keadaan baik. Hati kita tidak mempunyai kekotoran berupa hasad dengki,benci membenci dan sebagainya. Bukan itu sahaja, perbuatan kita juga akan sentiasa berada dalam keadaan yang baik.

Ketenangan bukanlah boleh dinisbahkan kepada sesuatu keadaan. Kerana ketenangan itu diperolehi bilamana hati redha dengan apa yang terjadi kepada diri. Seorang anak redha dengan segala apa yang diperolehinya daripada ibu bapanya. Ya, walaupun mungkin tidak sebaik apa yang diperolehi oleh rakannya yang lain. Ini kerana redhanya atas ketentuan Illahi melebihi kehendak yang ada didalam dirinya. Tipulah jika ada manusia yang tidak ingin hidup selesa tanpa perlu berusaha keras. Kerana itu merupakan sifat semulajadi manusia yang inginkan keselesaan dan penuh perhatian.

Tanyalah kepada diri apakah tujuan hidup? Tidak perlu mengembara keserata dunia jika kita masih tidak tahu apakah tujuan kita hidup di atas muka bumi ini. Ketenangan itu adalah satu perasaan yang ada didalam diri kita. Ketenangan adalah nikmat yang kita akan rasai bila kita dapat menghargai apa yang ada disekeliling kita. Lihat sami buddha yang melakukan proses spiritual dengan pertapaan. Mereka hanya perlu memusatkan tumpuan untuk menghilangkan beban yang ada dihati seterusnya membersihkan jiwa. Dalam islam ianya berlaku ketika kita bersujud kepadaNya. Kerana kita perlu mendidik hati menjauhi sifat yang keji. Disitu kamu akan perolehi ketenangan.

Pelayaran yang dikemudi didunia ini perlukan tujuan sebagai matlamat. Kerana tujuan akan membawa kepada petunjuk kepada diri agar tidak tersasar dan menyebabkan kita jauh tersesat. Umumnya, kita menggunakan kompas sebagai penunjuk arah agar tidak tersesat Begitu juga kepada manusia. Dalam diri kita, kapal itu merupakan diri  dan hati merupakan kompas. Jika hati baik, maka ianya akan memandu ke arah kebaikkan, dan jika sebaliknya hati, ianya akan membawa kepada keburukan. Tidak akan ada lagi ketenangan jika kita tidak mempunyai arah tujuan hidup. Ketenangan itu ada dihati, carilah ia disana.

No comments:

Blog yang berentak pelbagai, mengkritik dengan pelbagai sudut. kau tak suka, maka berlapang dada, hanya perlu meninggalkan pesanan saja..sekian