Jul 1, 2013

sembelihan orang kapir. halal ke tidak?

Dalil utama yang menjadi hujah tentang halalnya sembelihan ahli kitab adalah :

'Dan makanan (sembelihan) orang-orang yang diberikan Kitab itu adalah halal bagi kamu' (al-Maidah ayat 5)


Imam Ibnu Qudamah dalam al-Mughni (13/293) menyatakan bahawa :


"Ijma' ulama' membenarkan memakan daging sembelihan ahli kitab! Kerana firman Allah swt : 'Dan makanan (sembelihan) orang-orang yang diberikan Kitab itu adalah halal bagi kamu' al-Maidah ayat 5. al-Bukhari berkata : Ibn Abbas ra. berkata : 'Makanan mereka bermakna daging yang disembelih oleh mereka"

Perbahasan 1 : Adakah orang Kristian zaman sekarang diiktiraf sebagai ahli kitab yang dimaksudkan dalam surah al-Maidah ayat 5?


Jawapannya adalah ya. Mereka masih kekal ahli kitab. Allah telah menghalalkan sembelihan mereka sedang Allah tahu kekufuran mereka.

…padahal sesungguhnya telah ada satu puak dari mereka yang mendengar Kalam Allah (Taurat), kemudian mereka mengubah dan memutarkan maksudnya sesudah mereka memahaminya, sedang mereka mengetahui (bahawa perbuatan itu salah). (Surah al-Baqarah ayat 75)


Mereka menjadikan pendita-pendita dan ahli-ahli mereka sebagai pendidik-pendidik selain dari Allah, dan juga (mereka mempertuhankan) Al-Masih ibni Maryam, padahal mereka tidak diperintahkan melainkan untuk menyembah Tuhan Yang Maha Esa; tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia. Maha Suci Allah dari apa yang mereka sekutukan. (Surah at-Taubah ayat 31)


Wahai Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani), Janganlah kamu melampaui batas dalam perkara ugama kamu, dan janganlah kamu mengatakan sesuatu terhadap Allah melainkan yang benar; sesungguhnya Al-Masih 'Isa ibni Maryam itu hanya seorang Pesuruh Allah,dan Kalimah Allah yang telah disampaikanNya kepada Maryam, dan (ia juga tiupan) roh daripadaNya. Maka berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-rasulNya, dan janganlah kamu mengatakan: "(Tuhan itu) tiga". Berhentilah (daripada mengatakan yang demikian), supaya menjadi kebaikan bagi kamu. Hanyasanya Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa, Maha Suci Allah daripada mempunyai anak. Bagi Allah jualah segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Dan cukuplah Allah menjadi Pengawal (Yang Mentadbirkan sekalian makhlukNya). (Surah an-Nisa' 171)


Terlalu banyak Allah menyatakan kesesatan dan kekufuran kaum ahli kitab sehingga tidak mampu untuk aku membawanya ke sini tetapi Allah masih menghalalkan daging sembelihan mereka. Oleh itu, sangat jelas pandangan yang mengatakan ahli kitab zaman sekarang lain dari dengan zaman dulu adalah sangat lemah. Nyatakan kepada aku apa yang berbezanya?


Perbahasan 2 : Adakah teknik penyembelihan mereka halal menurut Islam?


Ya, ia halal kerana setelah Allah mengiktiraf sembelihan mereka adalah halal. Maka apa yang diajar oleh agama mereka atau apa yang diiktiraf oleh agama mereka maka ia halal untuk orang Islam. Sudah tentulah berbeza, sebab mereka menyembelih cara mereka, bukan cara Islam.

Untuk membandingkan cara sembelihan mereka dengan kita adalah amat dangkal sekali. Apa pun aku berpegang kepada maqasid (maksud) sembelihan itu sendiri iaitu mengeluarkan darah. Jika pasti ia dibunuh dengan cara tidak mengeluarkan darah, maka ia haram dimakan seperti kaedah renjatan elektrik atau mencekik.

Imam Ibn Uthaimin ra. membahagikan hal ini kepada 3 senario :
1. Kita tahu bahawa ia disembelih menurut jalan yang betul. Maka daging ini Halal.
2. Kita tahu bahawa ia tidak disembelih menurut jalan yang betul. Maka daging ini Haram.
3. Kita tidak pasti, tidak tahu samada disembelih menurut cara jalan yang betul atau tidak. Hukum didalam kes ini adalah dagingnya Halal, dan tidak wajib bertanya atau mencari bagaimana ia disembelih, dan apakah disebut nama Allah atau tidak"

(Fatawa Islamiyyah, 3/415).


Apa pun Islam tidak mengajar kita untuk bertanya. 

Dari A'isyah ra. bahawa beberapa orang telah datang kepada Nabi SAW dan berkata :

"Beberapa orang telah membawa daging kepada kami, Kami tidak tahu sama ada mereka menyebut nama Allah atau tidak? Baginda berkata : Kamu ucapkan sendiri kemudian makanlah" [HR al-Bukhari #5507]


Perbahasan 3 : Bagaimana para sahabat r.hum berinteraksi dengan sembelihan ahli kitab.


Para sahabat r.hum ialah manusia yang paling memahami hadis2 Nabi. Oleh itu, wajib ke atas kita memahami hadis2 sebagaimana mereka memahaminya.

Ali bin Abi Talib ra. yang berkata: Tidak ada salahnya memakan haiwan sembelihan kaum Nasrani Arab. Akan tetapi jikalau kamu mendengar orang yang menyembelih haiwan itu menyebut suatu nama selain dari nama Allah maka janganlah kamu makan, dan jikalau kamu tidak mendengar nama apakah mereka sebut (maka makanlah) kerana Allah sememangnya telah menghalalkan memakan hasil sembelihan mereka dalam suasana Allah sedia mengetahui kekafiran mereka. (HR Bukhari # 5507)


Begitu juga atsar ini,Telah bertanya seorang lelaki kepada Abu Darda samada bolehkah dia memakan daging seekor kambing yang telah diberikan kepadanya, yang telah disembelih sempena hari perayaan Gereja St. George. Abu Darda menjawab: Ya Allah ! Maafkanlah ! Bukankah mereka itu kaum Ahli Kitab, di mana makanan mereka adalah halal bagi kami dan makanan kami halal bagi mereka ? Abu Darda kemudian menyuruh lelaki tersebut untuk memakan daging kambing tersebut. (HR Tabari melalui Tafsir al-Maragi, 5/111)

Sumber :
1. alturkistani.blogspot.com.(teks asal)
2. http://hafizfirdaus.com/ebook/musafir/bhg47.htm#_ftn20 (Rujukkan lain)
3. http://www.youtube.com/watch?v=U2ljKC0S5oE (Rujukkan lain)

No comments:

Blog yang berentak pelbagai, mengkritik dengan pelbagai sudut. kau tak suka, maka berlapang dada, hanya perlu meninggalkan pesanan saja..sekian