Mar 31, 2012

Mati..,

Membunuh masa bukan satu perkara yang mudah. Semakin kita ingin ianya berlalu cepat, semakin itulah masa akan bergerak lambat. Umpama titisan air dari pili yang rosak. Itu yang aku alami sekarang. Seminit bagai sehari dua yang kering dan tandus. 

Aku lihat ke sana sini. Hairan. Masih ada yang terlupa waktu. Pagi seumpama ini bagai telah dinih hari rasanya. Rutin melakukan kerja giat saja dijalankan. Sedangkan, masa beginilah diri perlukan rehat. Melepaskan beban setelah seharian bekerja. 

Sambil menunggu masa berlalu, aku sempat meringankan minda membaca sebaris dua buku. "Rich brother, Rich sister" tajuknya. Buah hasil pemikiran Robert Kiyosaki. penulis tersohor "Rich dad Poor dad". Aku tertarik satu kata pemula dalam buku ini. Ianya berbunyi, " Ramai yang ingin masuk syurga tapi dalam masa sama takut mati ". Aku terkesan.

Ada benarnya ayat ini. Ramai yang takut mati. Konon takut tak cukup amal dibawa ke alam sana. Tapi berkata cuma, tanpa mengamalkannya. Aku juga kadang begitu. Mungkin, berkata itu sangat mudah berbanding melaksanakan apa yang dikatakan. 'walk your talk' orang putih kata.

Mati adalah satu perkara yang pasti. Tapi kita tidak akan tahu bila, dimana dan bagaimana kita menghadapinya. Mungkin ada yang menamatkannya dengan tenang, dan mungkin ada juga sebaliknya. Itu terpulang kepada yang berkuasa. Beramal bukan harus ditunggu, tapi harus dilaksanakan semampu yang boleh. Jangan bila kita terasa diri kotor, kita masih bertangguh, dengan alasan belum bersedia. Sebenarnya bersedia atau tidak, mati itu tidak akan menunggu.

Dipersinggahan ini, apa aku ingin kata, aku hanya perlukan ruang. Ruang untuk menyelesaikan segalanya. Mungkin aku sedikit terlena disini, sebab itu Tuhan jentik aku. Biar sedikit sakit akan buat aku tersedar. Sedar bahawa dunia ini tidak seindah yang kita inginkan.

Ya, terima kasih tuhanku. Aku tahu kekhilafanku.

Untuk yang terakhir-akhir akhirnya disini.. Semoga masa dapat merubah segalanya. Inshallah..


No comments:

Blog yang berentak pelbagai, mengkritik dengan pelbagai sudut. kau tak suka, maka berlapang dada, hanya perlu meninggalkan pesanan saja..sekian