Jul 2, 2017

Tertekan

Aku dapat rasakan bagaimana rasa tertekan itu boleh wujud dalam diri kita. Kau mungkin pernah rasa seperti aku. Dan perasaan ini sangat aku benci. Yang tadi terasa tenang kini semakin bercelaru.

Tanda yang jelas bagi aku yang kau itu tertekan ialah dengan berlakunya peningkatan emosi yang tidak stabil. Selera makan berkurang atau selera makan semakin bertambah (ada orang,semakin tertekan semakin selera makannya meningkat),rasa letih, gelisah, rasa terpinggir,dan pelbagai lagi rasa negatif yang menyebabkan kau semakin hilang arah.

Tertekan mungkin disebabkan pelbagai situasi. Dan yang ingin aku ulas ialah bilamana tertekan disebabkan diri terlalu memikirkan apa yang orang lain fikirkan tentang kita. Apa yang orang lain tanggapi tentang kita, kerjaya,hal rumahtangga dan pelbagai hal.

Menjengkelkan bila difikirkan.

Bagi aku ini adalah normal. Normal dimana kita hidup dikelilingi manusia-manusia yang terlalu banyak masa untuk menyingkap kain orang lain. Manusia yang banyak masa berfikir tentang orang lain walaupun dirinya sendiri tidak terurus. Kau mungkin pernah rasa begitu. Kan?

Kau pernah rasa, satu ketika kau cuba untuk menjadi surirumah sepenuh masa misalnya. (Yang bertentangan dengan norma masyarakat yang melihat perempuan yang tidak bekerja adalah loser). Hati kau berkeras mahukan itu. Dan kau merasakan itu adalah yang terbaik untuk diri kau, untuk suami kau, untuk anak-anak kau. Tapi dalam masa yang sama ianya menjadi beban dalam hati kau. Menjadi barah kepada perasaan kau.

Sampaikan setiap masa kau berfikir tanggapan orang lain. Mungkin, orang yang tak mengalaminya akan mengatakan, abaikan saja apa orang lain katakan..Biarkan saja mulut mereka seperti anjing. Tapi, bagi aku perasaan itu tidak semudahnya untuk diabaikan. Ianya menjadi duri dalam daging yang sangat membebankan.

Yang menjadikan kau semakin kecil di mata hati diri sendiri. Kalau kau kata ianya disebabkan mereka yang mempunyai perasaan seperti ini adalah negatif. Atau mereka-mereka ini jenis yang tidak mampu mengawal perasaan, maka teruskan saja berfikiran begitu. Kerana perasaan seperti ini sangat real. Dan sangat sukar untuk ditidakkan dengan sekadar bermain psikologi dalaman diri sendiri.

Aku terfikir, kenapa mereka yang merasa tertekan perlu dipersalahkan. Mengapa mereka ini pula yang perlu dilihat sebagai negatif. Mengapa mereka ini pula yang terpaksa menerima kesan akibat perbuatan orang lain? Sedangkan ianya bukan berpunca dari dia. Sepatutnya sebab luaran inilah yang harus dipersalahkan, yang harus dinilai buruknya pada pandangan masyarakat.

Kau faham apa yang aku cuba sampaikan?

Rasa tertekan itu normal. Rasa itu real. Kalau kau penat dengan rasa itu,cuba berhenti rehat seketika. Ambil nafas. Gelas kosong yang kita pegang dengan cara mendepakan tangan selama 10 jam pun akan terasa bebannya, apetah lagi perasaan seperti ini.

Beban tidak hanya diukur dengan beratnya sahaja. Tapi berapa lama kita cuba dan mampu untuk mengangkatnya dengan sempurna. Maka, berhentilah rehat seketika jika kamu rasa tertekan dengan hal-hal kehidupan.InsyaAlloh rasa tertekan itu akan berkurangan.

Lagi satu, banyakkan berdoa kepada Alloh.


No comments:

Blog yang berentak pelbagai, mengkritik dengan pelbagai sudut. kau tak suka, maka berlapang dada, hanya perlu meninggalkan pesanan saja..sekian