Aug 25, 2013

Kisah dua pemuda israel..

|| Jangan cuba menjadi Tuhan ||

Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda:

كَانَ رَجُلَانِ فِي بَنِيْ إِسْرَائِيْلَ مُتَوَاخِيَيْنِ، فَكَانَ أَحَدُهُمَا يُذْنِبُ وَالْآخَرُ مُجْتَهِدٌ فِي الْعِبَادَةِ، فَكَانَ لَا يَزَالُ الْمُجْتَهِدُ يَرَى الْآخَرَ عَلَى الذَّنْبِ، فَيَقُولُ: أَقْصِرْ، فَوَجَدَهُ يَوْمًا عَلَى ذَنْبٍ، فَقَالَ لَهُ: أَقْصِرْ، فَقَالَ: خَلِّنِيْ وَرَبِّيْ، أَبُعِثْتَ عَلَيَّ رَقِيْبًا؟ فَقَالَ: وَاللّهِ لَا يَغْفِرُ اللّهُ لَكَ -أَوْ: لَا يُدْخِلُكَ اللّهُ الْجَنَّةَ- فَقَبَضَ أَرْوَاحَهُمَا فَاجْتَمَعَا عِنْدَ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ، فَقَالَ لِهٰذَا الْمُجْتَهِدِ: أَكُنْتَ بِيْ عَالِمًا؟ أَوْ كُنْتَ عَلَى مَا فِي يَدِي قَادِرًا؟ وَقَالَ لِلْمُذْنِبِ: اِذْهَبْ فَادْخُلِ الْجَنَّةَ بِرَحْمَتِيْ، وَقَالَ لِلْآخَرِ: اِذْهَبُوْا بِهِ إِلَى النَّارِ.

Terjemahan:

Dahulu terdapat dua pemuda yang bersaudara dari kalangan Bani Israil, seorang adalah yang sangat rajin berbuat dosa, sedangkan seorang lagi amat rajin beribadah. Yang rajin beribadah itu selalu melihat saudaranya yang suka berbuat dosa, sehingga dia sering menegur saudaranya dengan berkata "cukuplah, berhentilah". Suatu hari dia mendapati saudaranya itu sedang melakukan dosa, maka dia pun berkata kepadanya "cukuplah, berhentilah".

Akan tetapi saudaranya yang rajin berbuat dosa itu -akibat sudah bosan mendengar leteran- itu menjawab: "biarkan aku -ini adalah urusanku- dengan Tuhanku, -usah kamu sibuk-, adakah kamu diutuskan sebagai pengawas bagi diriku?!", maka yang rajin beribadah itu menjawab kembali kepadanya: "demi Allah, Allah tidak akan mengampunimu", atau dia mengatakan "Allah tidak akan memasukkanmu ke dalam syurga"

Sejurus itu maka Allah pun mengambil nyawa mereka berdua (Allah matikan mereka) lalu mereka akan bersama dihadapkan di hadapan Allah Rabb Semesta Alam. Maka Allah pun berkata kepada yang rajin beribadah itu : "adakah kamu lebih tahu dan lebih berilmu dari Aku? Adakah kamu mempunyai kuasa atas perkara yang ada di tangan Aku?" - yang rajin beribadah itu tidak dapat menjawab -, kemudian Allah berkata pula kepada yang rajin berbuat dosa itu: "pergilah kamu masuklah ke dalam Syurga dengan Rahmat Aku". Manakala kepada orang yang rajin beribadah itu, Allah pun berkata kepada Malaikat: "bawalah dia ini dan campakkan dia ke dalam Neraka"

[Hadith Sahih: dikeluarkan antaranya oleh Ahmad dalam Musnad (8093), Abu Daud dalam Sunan (4901) , berkata Syu'aib al-Arnaut "isnadnya Sahih", juga dinilai Sahih oleh al-Albani]

Berkata Fathi al-Sakandary: bagi hadith ini pengajaran yang amat besar, antaranya ialah:

1- Larangan berkata "amalan kamu tidak diterima", atau "kamu tidak akan masuk syurga", atau "Allah tidak akan mengampuni kamu" dan lain-lain semisal kerana hak untuk menerima dan menolak sesuatu amalan adalah hak Allah semata, bukan hak kita manusia. Allah yang memberi pahala dan dosa, Allah yang menerima atau menolak sesuatu amalan, Allah saja yang menentukan syurga atau neraka bagi seseorang.

2- Usah cuba melakukan kerja Tuhan, usah cuba menjadi Tuhan.

3- Tidak baik dari segi psikologi jika memberi peringatan dan nasihat bertubi-tubi tanpa henti-henti setiap hari kepada seseorang, kerana itu akan membuatnya merasa rimas dan benci, bukannya membuatkan dia lebih mudah menerima teguran.

4- Semata-mata banyaknya serta kuatnya amal ibadah di dunia bukan penentu masuknya Syurga.

5- Antara tipu daya halus serta licik Sang Iblis kepada manusia ialah memberi rasa selesa kepada si hamba yang amat rajin beribadah bahawa mustahil Allah menolaknya dari memasuki Syurga, bahawa dia telah selamat dari Neraka.

6- Usah berputus asa dengan rahmat Allah walaupun dosa setinggi gunung, kerana rahmat Allah serta pintu taubat itu amat luas

7- Tingginya ilmu Allah, hanya Dia yang mengetahui pengahiran setiap makhluk, ke Syurga atau ke Neraka.

8- Luasnya rahmat Allah, dan Allah berhak memberi rahmatNya kepada sesiapa jua yang Dia mahu sesuka hatiNya.

9- Autoriti Allah adalah mutlak, Dia berkuasa mutlak atas sesuatu, Dia lah Raja Segala Raja, Malik al-Mulk, King of Kings.

10- Tiada sistem demokrasi di akhirat. Tiada demokrasi dalam pentadbiran Tuhan.

~ Fathi al-Sakandary ~


Dengar video ni. Abaikan politik, tapi lihat hadis nabi yang diungkapkan..semoga bermanfaat.

No comments:

Blog yang berentak pelbagai, mengkritik dengan pelbagai sudut. kau tak suka, maka berlapang dada, hanya perlu meninggalkan pesanan saja..sekian