Apr 3, 2013

Seleweng..,

HUJAH KETIGA

Meriwayat Imam Bukhari dalam Sohihnya, begitu juga Imam Ismail dan Abdul Razak :

“Bahawa diringankan azab Abi Lahab pada hari Isnin kerana memerdekakan Thuaibah iaitu hamba yang menceritakan khabar gembira tentang kelahiran Nabi s.a.w.”

JAWAPAN:

Dakwaan bahawa hadis ini terdapat dalam Sohih Bukhari itu adalah palsu semata-mata dan merupakan satu fitnah terhadap Imam Bukhari. Ianya juga tidak terdapat di dalam riwayat Ismaieli dan Abdul Razak. Cuma Suhaifi ada mengemukakan cerita ini tanpa menyebut sanad. Sila lihat Umdatul Qari, karangan Badruddin Aini, juz. 20, halaman 95. Fathulbari, karangan al-Hafiz Ibnu Hajar Asqalani, juzu’ 19, halaman 174 - 175. Serta Raudhul Unuf, karangan as-Suhaili, juzu’ 5, halaman 191.


Apa yang terdapat di dalam Sahih Bukhari hanyalah kata-kata ‘Urwah berkenaan dengan Thuaibah pernah menyusukan Nabi s.a.w. setelah dimerdekakan oleh Abu Lahab. Di sana ada satu riwayat lain yang mengatakan Thuaibah tidak dimerdekakan pada hari kelahiran Nabi s.a.w. bahkan ianya dimerdekakan selepas hijrah Nabi s.a.w. (Ibid, juzu’ 5, halaman 191). Dan juga tidak terdapat kata-kata “Diringankan azab Abu Lahab pada hari Isnin kerana memerdekakan Thuaibah” di dalam kata-kata ‘Urwah itu. Untuk keterangan lanjut, sila lihat Sahih Bukhari, Kitabun Nikah, Bab Wa Ummahatukumullati Ardha'nakum.


Patut dijelaskan juga bahawa tidak ada seorang pun dari kalangan pensyarah hadis ketika menghuraikan kata-kata ‘Urwah ini membuat kesimpulan dengan menyambut maulidurrasul, seseorang muslim akan diringankan azabnya di dalam neraka sebagaimana yang berlaku terhadap Abu Lahab. Jika timbul pandangan yang menyatakan kelebihan maulidurrasul berasaskan kata-kata ‘Urwah itu maka jelaslah ianya tidak berpandukan pendapat ulamak muktabar.


Berdasarkan kenyataan di atas juga kita akan mendapati maklumat berikut:

I. Kata-kata tersebut adalah semata-mata kata-kata ‘Urwah. Bukannya hadis Nabi. Lebih-lebih lagi ‘Urwah meriwayatkannya secara mursal. Beliau tidak menceritakan daripada siapa beliau mengambil kata-kata ini. Riwayat yang mursal tidak boleh dijadikan hujjah syari'yyah.

II. Peristiwa diringankan azab Abu Lahab pada hari Isnin ini hanya mimpi Abbas sewaktu belum memeluk Islam. Kenyataan ini juga tidak terdapat dalam Sahih Bukhari. Ulamak sudah sepakat (ijma’) bahawa selain daripada mimpi para Nabi, mimpi seseorang apalagi seorang kafir tidak boleh dijadikan hujjah syar'iyyah, biar setinggi mana keimanan keilmuan dan ketaqwaannya. Ulamak salaf dan khalaf juga berpendapat orang kafir tidak diberi pahala di atas amalan baik yang dikerjakannya apabila mati di dalam kekufurannya itu. Ini berdasarkan kepada firman Allah Taala yang bermaksud:" Dan kami hadapi segala amal yang mereka kerjakan lalu kami jadikan amal itu bagaikan debu yang berterbangan." (al-Furqaan, ayat: 23)

Aku ingatkan sikit pesanan daripada Nabi

Sejelek-jelek perkara adalah (perkara agama) yang diada-adakan, setiap (perkara agama) yang diada-adakan itu adalah bid’ah, setiap bid’ah adalah kesesatan dan setiap kesesatan tempatnya di neraka” (HR. An Nasa’i no. 1578, dishahihkan oleh Al Albani dalam Shahih wa Dha’if Sunan An Nasa’i)

“Sesungguhnya berdusta ke atas namaku tidaklah sama dengan berdusta menggunakan nama orang lain. Maka sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, bersiap-sedialah dengan tempat duduknya di neraka.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 1291)

No comments:

Blog yang berentak pelbagai, mengkritik dengan pelbagai sudut. kau tak suka, maka berlapang dada, hanya perlu meninggalkan pesanan saja..sekian