
Selama 23 tahun disangka koma
Rom Houben dibantu oleh rakannya berkomunikasi menggunakan mesin khas di Institut Weyerke, Heusden-Zolder, Belgium, kelmarin. - REUTERS
BERLIN 24 Nov. - Seorang lelaki Belgium yang disangka berada dalam keadaan koma selama 23 tahun telah menceritakan 'kelahiran keduanya' selepas doktor mendapati dia sebenarnya dalam keadaan sedar, lapor sebuah akhbar mingguan Jerman semalam.
Kakitangan perubatan di sebuah hospital di Liege, timur Belgium, percaya Rom Houben berada dalam keadaan koma selepas kemalangan jalan raya pada 1983 tetapi sebenarnya dia hanya mengalami lumpuh dan tidak dapat berkomunikasi.
Bekas pelajar kejuruteraan dan peminat seni mempertahankan diri itu yang kini berusia 46 tahun, memberitahu majalah berita Jerman, Der Spiegel bahawa dia bermeditasi selama bertahun-tahun terperangkap di dalam badan sendiri.
Keadaan sebenar Houben disedari tiga tahun lalu semasa ujian baru yang dilakukan oleh Universiti Liege mendapati otaknya masih berfungsi.
Menggunakan komputer khas untuk menaip mesej, Houben meluahkan apa yang telah dilaluinya selama lebih dua dekad.
"Saya mahu menjerit tetapi tiada suara yang keluar. Saya tidak akan melupakan hari mereka sedar di mana kesilapan berlaku, ia adalah kelahiran kedua saya.
"Saya menjadi saksi kepada penderitaan saya sendiri ketika doktor dan jururawat cuba bercakap kepada saya dan berputus asa," katanya yang dapat mendengar perbualan orang sekeliling tetapi tidak dapat memberikan reaksi.
Saat paling hiba adalah apabila ibu dan kakaknya memberitahu tentang kematian bapanya dan walaupun mahu menangis, badannya kekal kaku tidak bergerak.
Tambahnya, dia mengimpikan kehidupan lebih baik sepanjang masa dan kekecewaan adalah perkataan yang terlalu kecil untuk mewakili apa yang telah dilaluinya.
Berita mengenainya timbul selepas sebuah artikel perubatan dikeluarkan oleh pakar neurologi, Steven Laureys yang memberitahu Der Spiegel adalah sukar untuk mengubah diagnosis koma.
"Setiap pesakit perlu diperiksa sekurang-kurangnya 10 kali sebelum diisytiharkan koma," katanya lagi.
Namun ibu Houben, Fina tidak pernah mengalah dan menyatakan dia dapat merasakan anaknya masih sedar.
Houben masih tidak dapat bergerak namun dia dapat membaca menggunakan satu alat khas yang dipasangkan pada kepalanya dan berkomunikasi melalui papan kekunci. - AFP
macam mane kalo kita diitempatnya?
No comments:
Post a Comment