Jun 2, 2019

ujian tuhan itu indah

Kau tahu, bila tuhan itu memberi ujian, sebenarnya Dia sudah tahu yang kau sebenarnya mampu menghadapinya. Dia cuma mahu kau hadapi. Dia cuma mahu kau bersabar. Dia cuma mahu kau redha. Dia cuma mahu kau mencari Dia. dan dia akan selesaikan segalanya untuk kau.

Walaupun kadang aku sendiri rasa sesak bila menerimanya. Menangis seperti budak kecil. Meraung seperti seorang anak kehilangan ibu. dan pelbagai lagi perasaan yang payah untuk aku tulis disini.

Namun. Semakin perasaan dalam hati kau terus memberontak bertanya kepada diri sendiri, kenapa mesti aku yang diuji? kenapa mesti aku yang Kau pilih untuk menerima nasib ini? kenapa dan kenapa? dan semakin itu kau akan rasa ujian itu semakin besar. semakin sukar. semakin membelah hati kau dan ditikam selumat-lumatnya tanpa belas.

Teringat pesan Ust Khalid Basalamah. Nikmati saja prosesnya. Dipenghujungnya, Insyallah semuanya akan selesai.

Redha dengan ketentuanNya.

Setiap yang berlaku tidak pernah sia-sia. Walaupun itu sebenarnya menjatuhkan kau dari kemulian dunia. Kemulian yang telah lama kau bina. Tak pernah sia-sia. Itu janji Allah dan kau harus yakin.

Kadang hidup ini aku rasa kosong. Kosong dengan segala-galanya.

Orang pandang rendah. Jadi papa kedana. Jadi kosong sekosongnya.

Perasaan itu seperti ketika kau makan tengah hari. Belum sempat kau habis mengunyah sisa nasi dimulut, kau kena fikirkan pula bagaimana untuk mencari nasi yang lain untuk waktu malam. Kau tahu, Kepayahan yang sukar untuk aku gambarkan.

Ujian Allah benar-benar menguji aku. Menguji segala-galanya apa yang aku ada. dan hampir saja ujian ini telan segalanya. Hati, perasaan, jiwa, raga.

Kalau dulu, telinga mak aku menjadi tempat untuk aku luah segalanya. Orang tua ni, semakin lanjut usianya, semakin sensitif hatinya. Semakin cepat emosi. Jadi aku tak mahu tambah lagi beban dihatinya dengan masalah sampah yang aku rasa.

Tapi, bila aku ada masalah yang aku rasa payah sangat untuk aku pendam, aku akan cari juga mak. Aku mintak doa dari dia. Ini nasihat dari seorang ust yang pernah aku tadah ilmunya. Cari redha ibu bapa kita. Minta doa dari mereka. kerana doa ibu ayah kepada anak sangat mustajab.

Nasihat aku, bila kau ada masalah, cari Tuhan cepat-cepat. Dia nak kau cari Dia bukan bersedih murung dan sebagainya. Tak ada cara lain yang paling mudah untuk kau hadapi selain sabar dan terus bersabar.

Berdoa kepada Allah dan kembali kepada Dia. Banyakkan memohon ampun kepada Allah. Baca Surah Nuh, ayat 10-12. Lihat Janji Allah bila kita memohon ampun kepadanya.

Allah itu sebenarnya dekat dengan kita. Baca surah Al baqarah, ayat 186.

Ada banyak ayat alquran yang boleh memotivasikan kita daripada Allah..


No comments:

Blog yang berentak pelbagai, mengkritik dengan pelbagai sudut. kau tak suka, maka berlapang dada, hanya perlu meninggalkan pesanan saja..sekian